OYEN : SEBUAH KISAH KUCING JALANAN USM
USM Pulau Pinang, 14 Januari 2023 - Kekejaman terhadap kucing terutama kucing jalanan merupakan masalah yang memberi kesan bukan sahaja kepada haiwan malahan kepada orang yang mengambil berat tentang mereka.
Melihat kepada kepentingan sesebuah masyarakat membantu meminimumkan masalah kesihatan ekoran daripada masalah pengabaian yang berkaitan kucing jalanan dan tanggungjawab untuk tidak mewujudkan sebarang diskriminasi terhadap kucing jalanan, Sekretariat B.E.L.A.S. Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Pameran Kucing Jalanan 2023, “Oyen: Cerita Tentang B.E.L.A.S.”.
Menurut Penasihat Utama Sekretariat B.E.L.A.S., Dr. Ainul Mohsein Abdul Mohsin, pameran ini bertujuan untuk menggambarkan realiti kehidupan harian kucing jalanan yang tidak mendapat pembelaan mahupun persekitaran kondusif bagi kelangsungan hidup.
“Pameran ini mengetengahkan bahawa pentingnya masyarakat sekitar terutama sekali institusi pengajian tinggi yang berwibawa seperti USM, untuk menangani isu kucing yang dianiaya dan juga kucing terbiar di kampus universiti sebagai masalah yang penting untuk ditangani dan diurus,” jelas pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan itu.
Tambahnya, pameran ini bukan sahaja dibuka kepada pelajar dan pekerja di USM malahan terbuka kepada masyarakat luar untuk menyertainya. Kumpulan sasaran utama bagi pameran ini adalah terdiri daripada generasi muda yang sedang meningkat ke alam remaja atau dewasa kerana dilihat golongan ini merupakan golongan yang akan membentuk corak peradaban dan sahsiah generasi akan datang.